Translator

Monday, March 06, 2017

Xplore Lombok: Bukit Didaki, Air Terjun Didekati

TARIKH : 27 Disember 2016
DAY 5    : Misi Jelajah Lombok Timur : Tanah Tinggi & Air Terjun
LALUAN : Sembalun – Bukit Selong – Desa Sajang – Bayan – Senaru
JARAK   : ± 60 km
KOORDINATE:

Day 4

Bukit Selong (S8.36494° E116.54000°)

Perancangan awalku adalah untuk mendaki Bukit Pergasingan yang menjadi antara pilihan hiker bila berkunjung ke Sembalun selain Gunung Rinjani. Namun kerana keletihan aku menukar rancangan dengan mencari bukit yang lebih rendah dan dicadangkan oleh Pak Ar Ma Sih ke Bukit Selong.

20161227_064152

Seawal paginya ( ±jam 6.30 pagi ) kami bergerak menghala ke arah tenggara dari Homestay Rinjani Famili sejauh ±4km. Bukit Selong terletak di Desa Sembalun Lawang. Aku mencari-cari jalan disekitar perkampungan penduduk sambil bertanyakan dimana arah ke bukit ini. Sebelum sampai ke kaki bukit kami melewati kawasan hutan buluh cantik yang dijaga dan dipelihara dengan teratur. Buluh diusahakan oleh penduduk untuk kegunaan sendiri dan kraftangan.

20161227_065245

Dikaki bukit terdapat sebuah perkampungan budaya masyarakat Sembalun yang dikenali sebagai Desa Adat Beleq. Terdapat 7 buah rumah asal yang dipelihara hasil dari tinggalan leluhur masyarakat Sembalun. Memandang jam masih awal, desa ini masih belum dibuka lalu kami mendaki bukit Selong yang ketinggiannya sekitar 1,200 meter dari paras laut (tetapi ketinggian dari Desa Beleq sekitar 40 - 50 meter sahaja). Tak penat mendakipun, peluh tak sempat keluar tambahan dinginnya udara pagi disini. Walaupun bukit ini rendahnya sahaja tetapi tawaran pemandangan yang disajikan tidak mengecewakan. Kelihatan petak-petak sawah dan tanaman petani bagaikan hamparan permaidani. Dibelakang sana Bukit Anak Dara melatari dan disebelah sana pula Gunung Rinjani.

20161227_065106

Selesai bergambar, kamipun balik ke homestay untuk bersarapan. Selepas sarapan, Pak Ar Ma Sih membawa ku ke bengkel sahabatnya untuk memperbaiki brek motosikal. Aku menukar lever dan break pad kerana jauh lagi perjalananku dan laluan menurun akan ditempuhi.

Selepas itu Pak Ar Ma Sih mencadangkan aku untuk ke air terjun Mangku Sakti dan Mangku Kodek dan tidak mencadangkan ke air terjun Mayong Puteq sepertimana pelan asalku. Beliau juga menghubungi kenalannya dengan memaklumkan yang aku akan ke situ dan juga persiapan tempat tinggal di Senaru.

Air Terjun Mangku Sakti (S8.31838° E116.46871°)

PC270660

Jam 9.40pagi kami bertolak menghala ke utara mencari Desa Sajang dan setelah ±12km tiba-tiba sebuah motorsikal kelihatan mengekoriku dan lantas penunggangnya menegurku ‘samada akukah pelancong dari Malaysia’. Alamak… hampir 3km aku dah tersasar dari lokasi (nasib baik Pak Ar Ma Sih hubungi kenalannya). Penunggang tersebut ialah saudara Rendy Hartono, seorang anakmuda dari perkumpulan Pemuda Adat Peduli Alam Rinjani (PAPAR). Beliau juga mengusahakan khidmat pemandu pelancong sekitar Rinjani dan Lombok. Kami meletak motosikal dirumahnya (S8.31491° E116.48870°), berehat seketika sambil menikmati secawan kopi Sembalun buatan sendiri. Kebetulan ibunya sedang memanggang kopi tersebut, memang sedap kopi asli ini lantas aku membeli 2 paket sebagai ole-ole kenangan.

20161227_102634

Randy mengusahakan  perkhidmatan tunjuk arah (guide) dan ‘ojek’ (pengangkutan bermotor) hingga ke air terjun Mangku Sakti/Kodek. Aku bersetuju menggunakan perkhidmatan mereka dan kamipun dibawa menunggang 2 buah motosikal ke kawasan air terjun tersebut sejauh ±4.5km (bayaran ±id50,000 seorang). Memang tepat sekali keputusan aku dengan menggunakan perkhidmatan ojek kerana laluan untuk ke kawasan air terjun sangat mencabar – kalau dengan skuter kami, pasti gagal menempuh laluan sebegini. Dikawasan ini ada parkir khas dan sebuah gerai makanan dan minuman. Kemudian kami berjalan ±650 meter untuk sampai ke air terjun Mangku Sakti.

 20161227_112311

Air terjun Mangku Sakti tersembunyi di dalam hutan di kaki gunung Rinjani dan berasal dari aliran Kokoq Puteq yang sumbernya adalah dari danau Segara Anak di atas gunung Rinjani. Air terjun setinggi ±30 meter yang langsung jatuh ke kolam seluas ±15 meter yang kedalamannya sekitar 2 – 4 meter. Airnya sedikit keruh berwarna putih kerana bercampur dengan belerang. Sangat baik untuk merawat penyakit berkaitan kulit.

Aku merendamkan badan disini buat menghilangkan kepanasan dan menyegarkan kembali badan dan selepas itu kami trekking untuk ke Air Terjun Mangku Kodek.

  Air Terjun Mangku Kodek (S8.31665° E116.46956°)

PC270772

Air Terjun ini terletak ±200meter dari Air Terjun Mangku Sakti. Ia tersembunyi diantara tebing-tebing tinggi. Aliran sungai yang menghasilkan air terjun ini adalah yang sama dari air terjun Mangku Sakti. Untuk ke air terjun ini terpaksa mengharung aliran sungai separas pinggang sejauh 20 meter. Air terjunnya tidaklah tinggi sekitar 3 meter sahaja namun keindahannya terpapar apabila ia bersatu dengan dinding-dinding batu kuno yang terbentuk dari hakisan air. Air terjun yang diapit oleh dinding-dinding dengan lekukan ukiran semulajadi tampak gagah lagi eksotis.

PC270730-horz

Kami tidak menuju ke air terjun satu lagi iaitu air terjun Kuda Sembrani kerana masa yang agak terhad.

Masjid Kuno Banyan (S8.26698° E116.42669°)

20161227_141535

Lebihkurang jam 2 petang kami sudah berada di Masjid kuno ini yang terletak di Belek, Karang Bajo, Bayan, Kabupaten Lombok Utara. Ia terletak ±18 km dari Pos untuk ke Air Terjun Mangku Sakti (rumah Rendy). Tidak sukar mencarinya kerana ia terletak ditepi jalan utama Raya Banyan. Bangunan masjid ini sudah terdiri sejak > 400 tahun (sejak abad ke 16) dan bentuknya tidak berubah. Dengan ukuran 9 x 9 meter dengan berdinding anyaman buluh, beratapkan lalang berlantaikan tanah liat. Struktur tiangnya masih yang asal iaitu 4 tiang utama berbentuk bulat yang dibuat dari kayu nangka. Katanya dinding dan atap akan diganti setiap lapan tahun sekali . Masjid ini tidak lagi digunakan bahkan pintunya dikunci dan aku tidak berpeluang untuk masuk, hanya sekadar menjenguk melalui celahan pintu. Kelihatan sebuah beduk yang tergantung di atas alang

PC270793-horz

Ia kini menjadi salah satu warisan yang dipelihara kerana ia melambangkan sejarah kemasukan islam ke Lombok. Di sebelah masjid ini terdapat sebuah kubur lama milik Syekh Abdul Razak salah seorang penyebar islam ke sini dan juga kubur tokoh agama tempatan.

PC270799-horz

Kami kemudian bergegas ke Senaru untuk mencari penginapan untuk malam harinya. Aku terus mencari penginapan yang dicadangkan oleh Pak Ar Ma Sih iaitu di Rinjani Homestay (S8.29480° E116.40949°). Homestay ini berharga id250,000 dilengkap dengan kemudahan yang cukup asas. Katil saiz queen tanpa aircond tetapi diberi kipas, bilik air tanpa air panas dan apa lagi nak diharap dengan harga yang sebegini ditempat tumpuan pelancong. Tetapi dia punya view sangat lawa – Gunung Rinjani jelas kelihatan dari balkoni dan teres sawah padi menghias bumi. Keletihan membuat aku tidak memikir panjang untuk mencari lain-lain penginapan. Selepas mandi dan solat,  baru menikmati makan tengahari di lewat petang dan jam 4.00 petang kami mengupah seorang petugas homestay untuk guide kami ke ayer terjun berdekatan.(Sdr Fauzan id100,000 - Tidak kisah aku membayar lebih kerana aku anggap sebagai sumbangan/sedekah kepada beliau.)

PC270802

Pemandangan dari balkoni Rinjani Homestay

Air Terjun Sendeng Gile (S8.30599° E116.40764°)

PC270807-horz

Kami berjalan ±1.6km  melalui ‘jalur irigasi’ untuk ke air terjun ini. Laluan ini tidaklah terlalu sukar dan mendatar sahaja. Laluan ini turut diguna oleh ‘ojek’ untuk mengangkut penumpang ke air terjun ini. Kemudian terpaksana manapak di beberapa anak tangga sebelum sampai ke tempatnya. Kelihatan masih ramai pengunjung disini. Ayer terjun ini berketinggian ±30 meter dan airnya jatuh dari tebing yang bertingkat melalui rimbunan pepohon hijau. Aliran air ini katanya berpunca dari Danau Segara Anak di Gunung Rinjani.

Air Terjun Tiu Kelep (S8.31150° E116.40415°)

PC270821

Kami meneruskan perjalanan lagi 1km untuk ke air terjun seterusnya iaitu Air Terjun Tiu Kelep. Kami terpaksa menaiki anak tangga dan jambatan yang merupakan saluran air. Selepas itu menerjah denai dalam kawasan hutan dengan pepohon besar disekeliling. Terpaksa ‘cross’ sungai kecil dari aliran air terjun ini. Untung dapat guide kerana kami mungkin boleh sesat apatah lagi hari semakin nak gelap (jam 5.00 pm)

PC270841-horz

Apabila kami sampai, hanya ada beberapa orang pengunjung disini kerana ramai sudah berpatah balik (Satu kelebihan pada kami). Di sini air terjunnya tampak lebih hebat dan menakjubkan. Tiu Kelep bahasa Sasak yang berarti “Terbang Renang”. Air terjun setinggi 50 – 60 meter yang langsung jatuh dari tebing ke kolam. Dikiri kanan batuan dengan tumbuhan yang menempel menambah kecantikan air terjun ini. Wow! …. memang menarik disini. Airnya yang jernih lagi dingin, sempat aku membasahkan diri sebelum bertolak balik kerana hanya tinggal kami yang terakhir disini dan bimbang nanti gelap walau jam baru pukul 5.30 petang. Tidak sempat aku untuk ‘meronot’ gua yang dialiri air yang sering menjadi perhatian pengunjung kalau ke sini.

PC270860

Bersambung ……


Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...