Translator

Monday, January 30, 2017

Xplore Lombok – Pantai Dicari & Tanjung Dihampiri

20161225_071007

TARIKH : 25 Disember 2016
DAY 3 – Misi Jelajah Lombok Timur
LALUAN: Laluan: Kuta – Bukit Merese – Batu Payung – TWA Gunung Tunak – Ekas
JARAK: ± 120 km
KOORDINATE:

Lombok Timur

Jam 7.00 pagi kami sudah check-out tanpa breakfast. Bag diletakkan di lobi kerana kami akan menuju ke sebuah bukit yang dikenali juga sebagai bukit cinta. Terletak ± 7km, ia berada di pantai Selatan Pulau Lombok, dalam wilayah Lombok Tengah dan berada berhampiran Pantai Tanjung Aan.

20161225_072353

Kami singgah dahulu ke Pantai Aan (S8.90918° E116.32131°), pantai dengan pasir yang memutih dan air laut yang menghijau kebiruan lagi jernih. Diapit oleh dua tanjung yang berbukit menjadikan lautnya tenang.

20161225_073440 

Kemudian kami menuju ke arah bukit Merese dengan melewati kawasan pembangunan (katanya kawasan ini akan dibangunkan oleh pihak Club Med (???)). Kami parkir motor dikaki bukit dan mendaki bukit yang berketinggian sekitar 60meter sahaja. Jika tidak licin pasti aku naik dengan motosikal sahaja.

20161225_070152

Wow di atas memang indah sekali pemandangannya. Dengan bukit yang menghijau, lautan yang membiru, pantai dan tanjung ..fuhhh tak terucap dengan kata-kata. Patutpun ia digelar “Bukit Cinta” pastinya ia menjadi tempat berswafoto dan sasaran pengantin bergambar. Memandangkan kami awal di sini maka tidak ramailah pengunjung, hanya beberapa keluarga dan sepasang pengantin baru. Kalau waktu petang ia adalah lokasi terbaik untuk melihat sunset dan semasa aku diparkir motor aku terlihat sekelompok penunggang MTB hendak mendaki bukit ini.

20161225_070808

Semasa hendak keluar dari kawasan Tanjung Aan kami dikenakan caj sebanyak Rp5,000 sebagai bayaran memasuk ke wisata ini (masuk tadi tadak orang). Kemudian aku guna GPS mencari koordinate Goa(gua) Kotak (S8.92369° E116.34266°). Setelah melalui jalan yang sangat becak dan licin, aku bertanyakan beberapa penduduk yang kebetulan lalu dan menasihati kami untuk tidak meneruskan perjalanan kerana jalan ke sana sangat ‘jelek’ lalu aku mengambil keputusan untuk ke Batu Payung sahaja. Kamipun berpatah balik dan singgah ke satu kawasan perkampungan dan parkir motor disini (S8.90997° E116.33178°). Beberapa orang kanak-kanak menawarkan kepada kami perkhidmatan untuk menunjuk arah ke Pantai Batu Payung. Aku bersetuju dan 3 orang kanak-kanak mengikutiku.

PC250358

Perjalanan ke pantai Batu Payung kelihatan penduduk sedang mencari sejenis cacing laut spesis Nyale

Sepanjang perjalanan mereka banyak bercerita tentang Batu Payung ini disamping membawa baranganku dan bekalan nasi yang aku beli tadi. Sesampai disana mereka juga menjadi jurufoto sambil mencadangkan berbagai aksi disini. Berbaloi aku mendapat perkhidmatan mereka bahkan secara tidak langsung membantu mereka mencari rezeki.

PC250366

Pantai Batu Payung(S8.91980° E116.33073°) adalah pantai yang tidak memiliki pasir tetapi batuan karang. Untuk kesana kita perlu berjalan kaki menyusuri pantai sejauh ± 1.2 km. Pantai ini diberi nama kerana terdapat satu batu yang besar persis payung (walaupun tidak nampak seperti payung tetapi kononnya suatu ketika dahulu ia menyerupai payung tetapi akibat hakisan ia berbentuk seperti sekarang)

PC250447

Tidak jauh dari batu payung terdapat sebuah pulau berbentuk seperti kura-kura. Katanya ada gua disitu dan ada ular laut yang jinak di dalamnya. Air laut sedang pasang dan bergelora pula mematikan hasratku untuk ke sana.

PC250571

Gerbang /pos pengawal/kaunter tiket untuk masuk ke TWA Gunung Tunak

Sekitar jam 10.00 kami balik ke hotel dan mengambil bag lalu meghala ke sebelah timur menuju ke Taman Wisata Alam (TWA) Gunung Tunak yang terletak di Dusun Bumbang, Desa Mertak, Kecamatan Pujut, ± 25km dari Kuta beach. Sebelum tiba ke TWA ini kami menaiki sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Lobster. Menikmati panorama dari ketinggian dengan memandang ke arah teluk, hamparan hijau dan laut membiru amat mendamaikan jiwa. Jika bukan kerana jauh perjalanan lagi, pasti lama aku di atas bukit untuk menikmati keindahan alam ini. Turun kami singgah di Bumbangku cottage, bertanyakan harga dan sebagai persediaan jika kami terlewat di TWA Gunung Tunak. Dengan berpandukan GPS kami menuju ke Gerbang masuk  TWA (S8.91101° E116.38098°) yang juga adalah pos kawalan dan tiket masuk dikenakan. Jalan untuk ke pintu masuk sedang diperbaiki dan rosak teruk, nasib baik cuaca hari ini kering, jika hujan pasti licin dan sukar untuk melalui. Dipintu gerbang ini ada pos pengawal dan kini beberapa bangunan sedang dalam proses pembinaan (upgrade). Untuk masuk ke TWA ini dikenakan bayaran sebanyak rp5.000 – rp7.000 dan untuk pelancong luar dikenakan rp150,000. Aku sempat berbual dengan pegawai perhutanan disitu, beliau memaklumkan bahawa TWA ini wartakan sebagai Taman Wisata Alam pada bulan Ogos tahun 1996 dibawah kelolaan Balai Konservasi Sumber Daya Alam Nusa Tenggara Barat. Ia berkeluasan 312 ha. Banyak lokasi yang menarik dan beliau berkata mungkin tidak cukup sehari jika mau lawati kesemua pantai dan tempat menarik disini. Di TWA menjadi habitat sejenis burung dikenali sebagai Gosong kaki merah (Megapodius reinwardt ) burung yang sebesar ayam, berwarna gelap dengan kaki berwarna jingga.

PC250569-horz

Kami meletak bag kami disini dan memandu berhati-hati dilaluan yang kondisi jalannya agak buruk dan sangat sunyi. ± 5km setelah bersusah payah mengendali motosikal dilaluan yang mencabar ini kami sampai ke sebuah pantai indah yang tersembunyi disebalik hutan ini iaitu Pantai Bilasayak (S8.94764° E116.38813°).

20161225_124947

Pantai Bilasayak

20161225_122245

Untuk ke Gunung Tunak perlu menyeberang kawasan pasir kerana jalan ditenggelami air dan dipenuhi dengan kerbau liar. Terpaksa mendorong motosikal di atas pasir yang agak dalam sebelum mendaki bukit untuk parkir dibawah pepohon. Disini sudah kelihatan beberapa buah motor. Kemudian kami ‘soft trekking’ menyusuri hutan renek sejauh ± 500 meter untuk ke menara pandang (S8.95172° E116.39341°) menjadi landmark Gunung Tunak.

20161225_122853

Meredah hutan renek untuk  ke menara

20161225_123405

Aku tidak dapat mendaki hingga ke puncak menara kerana bimbang dengan angin yang kuat, terasa bergetar menara ini. Tak mahu ambil risiko aku turun – melepaslah untuk menikmati panorama indah dari atas menara yang setinggi ±30 meter yang dapat menyaksikan pemandangan 360° hampir seluruh Gunung Tunak ini. Dibawah aku terjumpa sebuah kubur lama dan kami menyusur semak ini menuju ke sebelah barat melihat keindahan pantai yang bertebing. Hamparan bukit hijau yang indah dan laut membiru disamping deburan ombak melengkapkan indah alam disini. Aku terpaksa memendekan eksplorasi apabila melihat langit semakin gelap hendak hujan. Tidak mahu mengambil risiko perjalanan pulang yang mungkin menjadi lebih buruk.

PC250555

Kubur misteri di Gunung Tunak .. bagaimana boleh berada di tempat terpencil ini?

Lebihkurang jam 2.00 petang kamipun keluar semula ke gerbang. Teimakasih kepada penjaga pos kerana tolong menyimpan bag kami dan mereka sempat bertanya pandangan aku tentang Lombok dengan perbandingan Phuket (Thailand). Bagiku Lombok mempunyai keistimewaannya tersendiri begitu juga dengan Thailand.

20161226_133211

Kami bergerak menuju ke Lombok Timur dalam suasana redup menuju ke suatu tempat yang aku belum pasti untuk bermalam. Kami menghala ke Jerowaru, berhenti beberapa kali untuk melepas dahaga meneguk air kelapa. Kebanyakan tempat yang kami singgahi disambut mesra oleh penduduk yang rata-rata bercerita ada saudara bekerja di Malaysia. Di Jerowaru aku berada dipersimpangan samada hendak ke Pantai Tangsi(25km) atau ke Pantai Ekas(6.6km), memandangkan jam sudah 4.30 petang aku memilih ke Pantai Ekas kerana tempat bermalam perlu dicari dahulu. Jalan ke Pantai Ekas pada permulaannya bertar tetapi selepas itu jalannya berlopak dan rosak, was-was samada ada penginapan dihujung sana lantas bertanya penduduk setempat lalu diiakan mereka.

20161225_171327

Akhirnya aku sampai ke sebuah penginapan yang nampak seperti biasa sahaja, Ekas Break (S8.88834° E116.46350°). Tetapi apabila singgah barulah ku tahu ia adalah sebuah penginapan milik pemodal dari Swiss. Tersorok di tempat sebegini dan menjadi pilihan ramai pelancong Eropah yang minat kediaman terpinggir dan untuk bermain papan lucur air. Terus ke kaunter dan ditawarkan rate sebanyak USD60, setelah berunding dikenakan caj sebanyak USD50. Kediaman ala rumah tradisi sasak, ada kolam renang dan laman yang menarik lagi cantik. Bahkan mempunyai talian internet yang laju (untuk makluman di kawasan Lombok Timur, liputan internet sangatlah sloww bahkan ada yang tak dapat – tetapi tidak disini) Keletihan menunggang motosikal hampir seharian membuat aku tidak memikir soal harga atau pilihan lain walau mereka ada mencadangkan beberapa lokasi penginapan berhampiran yang lebih rendah harganya. Seusai check-in, aku terlelap dan bangun untuk menikmati makan malam di Restoran mereka yang tentu harga sememangnya diluar jangkaan berbanding harga di warong atau restoran. Selepas makan malam aku bercadang untuk mandi di kolam (bayar mahal mesti gunakan segala kemudahan seoptimanya) namun keletihan membuat aku terlelap sehingga subuh esoknya.

Bersambung ……


Pautan Kembara Berkaitan
1. Xplore Lombok - Day 1 : Pendahuluan
2. Xplore Lombok - Day 2 : Jelajah Pantai & Tanjung
3. Xplore Lombok - Day 3 : Pantai & Tanjung @ Lombok Timur
4. Xplore Lombok - Day 4 : Dari Pantai Ke Tanah Tinggi
5. Xplore Lombok - Day 5 : Bukit Didaki & Air Terjun Di Dekati
6. Xplore Lombok - Day 6 : Santai Dipantai, Berekreasi di Alam Semulajadi
7. Xplore Lombok - Day 7 : Mengahayati Alam, Mendekati Cagar Budaya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...