Translator

Monday, February 19, 2018

Kembara Bumi Parsi : Menuju Selatan Mencuba Makanan Traditional Iran

Tarikh   :  08 Januari 2018   
MISI     :  DAY 05
LALUAN:  Isfahan - Shahreza - Safashahr – Marvdasht - Shiraz
Jarak    :  ± 502 km
KOORDINATE: N32.65802° E51.67722°

20180108_090125

Pagi ini sungguh sejuk, suhu - 4°C, jam 8.00 pagi kami berangkat menghala ke Selatan menuju Shiraz sejauh ± 502km (Suatu perjalanan yang jauh hari ini). Sepanjang perjalanan fros mulai turun hingga gurun-gurun mula kelihatan memutih.

20180108_092853-horz

Hidangan Kaleh Pacheh – Sup Kepala & Kaki Kambing

Kami berhenti disebuah pekan iaitu Shahreza ± 80km dari Esfahan untuk menikmati sarapan popular Iran iaitu Kaleh Pacheh di sebuah restoran (N32.02706° E51.87557°). Kaleh Pacheh adalah sup kepala dan kaki kambing. Hidangan dimulakan dengan semangkuk sup kosong yang dicicah makan dengan roti. Habis sup, di persembahkan pula isi dari kepala kambing - otak, lidah, bola mata, pipi dan lain-lain aku ratah selahapnya (maklumlah banyak hari tak menikmati sesuatu yang berkuah). Nah Haih .. habis semangkuk dia mai pulak organ dalaman dengan perut. Tanpa menolak bahkan aku tambah lagi dan licin pinggan aku sebat …. Puaihh haih ‘menyorok’ pagi ni. Harga untuk 3 orang makan disini ialah IRR280,000.00. Sebelum tu beberapa penduduk Iran mempelawa roti kepada kami sebelum sup tiba bahkan ada pasangan Iran ingin bergambar dengan kami setelah dimaklumkan kami dari ‘Malaisie’. Menunjukkan keramahan dan kemesraan penduduk Iran terhadap pelancong terutama dari negara muslim.

     20180108_093812-horz

Mula-mula dihidangkan sup dimakan dengan roti

20180110_080742-horz

Kemudian segala otak, daging pipi, lidah dan diakhiri dengan perut kambing pulak

20180108_100836_004

20180108_114102-horz

‘Bukit Mordor’ yang dikelilingi oleh gurun yang berlatarkan gunung bersalji

Perjalan kami diteruskan lagi dan aku semakin teruja melihat rupabumi iran, bukit-bukit dan gurun mula diselaputi salji tebal pagi ni. Mataku tidak lepas dari memandang semua bukit dan bangunan-bangunan lama. Apabila terlihat sebuah kota diatas sebuah bukit lalu meminta Mohammad berhenti dan kami mendaki sejauh ±700 meter kepuncak bukit untuk melihat lebih dekat binaan tadi. Binaan ini adalah seperti sebuah pos kawalan lama yang ditinggalkan. Sebahagiannya sudah runtuh dan ia berada pada kedudukan yang strategik, terletak antara sempadan Pars/Isfahan. Dengan dikelilingi oleh gunung bersalji dan gurun yang luas mata memandang mengingatkan kami akan cerita ‘Lord Of The Rings’ dan kami memanggil bukit ini ‘Bukit Mordor’ (N31.62808° E52.09391°). 

P1080029-horz

GOPR3972

Caravan

Bentuk caravanserai

Berdekatan dengan kota Sormac kami jumpa sebuah Caravanserai (N31.04976° E52.81450°) yang ditinggalkan. Caravanserai adalah seperti rumah persinggahan kuno yang digunakan oleh pengembara/saudagar untuk berehat dan mendapat perlindungan dari serangan alam dan manusia. Ia popular sejak era Achaemenid yang menjadi singgahan popular di rangkaian laluan perdagangan terutama di Laluan Sutera.

20180108_151217 (1)

Harga Dizi untuk 2 orang ialah IRR280,000

Kami singgah untuk menikmati makan tengahari di pekan Safashahr (N30.60796° E53.18987°). Disini kami menikmati lagi makanan tradisional Iran iaitu Dizi. Dizi atau Abgoosht dalam bahasa Parsi bermakna Jus daging. Hidangan disajikan bersama ‘lesong batu khas’ yang dipanggil ‘Dizi’. Dimana daging kambing dan jus akan ditumbuk didalam lesong ini dan kemudian akan dimakan bersama roti. Ia adalah makanan berkhasiat yang berkalori tinggi dan merupakan sumber protein yang baik. Ia biasanya dinikmati di musim sejuk. 

20180108_134814

Salji semakin tebal digurun apabila kami menghampiri Safashahr

Jam 4.00 petang kami ke Madar Soleyman dan dengan masa yang singkat (pintu masuk ditutup pada jam 4:30 pm) tidak membolehkan kami untuk masuk ke dalam Kota ini. Pasargadae adalah ibukota kepada empayar Achaemenid. Ia diasaskan oleh Cyrus II the Great (yang memerintah 559-529 SM). Sisa-sisa tinggalan binaan hebat seperti Istana-istana, taman-taman dan makam Cyrus di tapak seluas 160-ha adalah saksi kepada kehebatan peradaban Persia. Ia telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2004.

Kami tiba di Shiraz pada jam 7.30 malam dan terus ke Homestay untuk berehat …..

P1100048DSC08442

tempat pembuatan roti traditional Iran.

P1100054

Roti dibeli dan dibawa untuk dimakan dengan Kaleh Pacheh. Roti ini lebih lembut berbanding roti yang disediakan bersekali dengan Kaleh Pacheh.

P1100052

Tak silap ku ini adalah Ash (Ash-e reshteh) . Iaitu Persian Sup

Bersambung….


Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Bumi Parsi : Muqaddimah
2. Kembara Bumi Parsi – Day 2 : Berpelesiran Di Tehran
3. Kembara Bumi Parsi – Day 3 : Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah
4. Kembara Bumi Parsi – Day 4 : Isfahan-Kota Separuh Dunia
5. Kembara Bumi Parsi – Day 5 : Menuju Selatan & Mencuba Makanan   
6. Kembara Bumi Parsi – Day 6 :
7. Kembara Bumi Parsi – Day 7 :

Monday, February 12, 2018

Kembara Bumi Parsi : Isfahan – Kota Separuh Dunia

Tarikh   :  07 Januari 2018   
MISI     :  DAY 04
LALUAN:  Kashan – Isfahan
Jarak    :  ±260km
KOORDINATE: N32.65802° E51.67722°

20180107_085409

Ada jalan bertol dari Tehran ke Isfahan dan kosnya murah bangat

Seperti biasa jam 8.00 pagi mesti gerak ke destinasi, bersarapan di jalanan sahaja. Perjalanan dari Kashan melalui Lebuhraya sejauh ± 261km dengan kadar tol cuma IRN20,000 sahaja. Minyak (yang kualiti sama macam Ron 95) pula harganya IRN10,000/per liter (± RM1.00). Kami tidak memandu laju sekitar 80 – 100 km/j sahaja dan peluang untuk aku memandu kereta panduan sebelah kiri, memang terasa kekok dan kesimpulannya aku tak mungkin boleh memandu di dalam kota. Perjalanan yang mengambil masa ± sekitar 4 jam dan kami tiba di Isfahan ± jam 12.00 tengahari.

20180107_121434

di depan jam suria Di Medan Nagh-e Jahan

Isfahan adalah kota ke 3 terbesar di Iran dan menjadi ibu negeri wilayah Esfahan. Ia telah wujud sejak 1,500 tahun dan kegemilangannya menonjol di era dinasti Safavid pada abad ke 16 dan pernah menjadi ibu kota Parsi. Mendapat jolokan sebagai "Nesf-e-Jahan" yang bermakna "Half The World". Dengan keindahan senibina, karya seni yang hebat dan binaan yang mengkagumkan seperti taman, masjid dan tinggalan kota membuat para pelancong berasa kagum dan mengatakan berkunjung ke Isfahan adalah seperti melihat separuh dunia. Maka dek kerana tu aku memang teringin untuk ke sini.

esfahan-29-728plan_ieng 

Sesampai kami di Isfahan, kami terus ke Naghs-e-Jahan (N32.65802° E51.67722°) yang juga dikenali sebagai Imam Square atau Meydan Emam. Ia pernah dinobatkan sebagai medan kedua terbesar didunia. Dihiasi dengan kolam dengan pancuran air dan dikelilingi oleh bazar, istana dan masjid yang mempesonakan. Secara khususnya medan ini mempunyai sebuah istana (Ali Qapu Palace di sebelah barat, 2 buah masjid yang terdiri megah (Shah mosque atau Imam Mosque disebelah selatannya dan Sheikh Lotfollah Mosque di sebelah Timur dan di bahagian utara terletak pintu masuk utama dan Grand bazar iaitu 4 buah bazar yang bersambungan.

20180107_125307

Di dalam masjid Shah

P1070021

Masjid ini dalam pembaikan pulak ..

20180107_125920

di tempat mengambil wuduk – dikananku adalah perigi untuk wuduk

Sesampai kami di Imam Square, azan zohor berkumandang dari Shah Mosque @ Imam Mosque (N32.65490° E51.67749°), Mohammad memaklumkan jika masuk ke masjid ketika waktu solat dikecualikan bayaran (IRN200,000). Alhamdulillah selepas mengambil wuduk aku terus ke ruang solat dan mengambil tempat di penjuru untuk sendirian menyelesaikan urusanku denganNYA. Usai solat aku keluar melihat sekitar kawasan masjid yang kini sedang dalam proses ubahsuai.. Masjid ini mula dibina pada 1611, kehebatannya pada keindahan jubin mozek dan warna inskripsi kaligrafi. Ciri yang unik dalam kehebatan senibina ialah pada bunyi dan pantulannya dibawah kubah yang boleh menyaringkan bunyi sekeliling. Tidaklah dapat aku untuk melaungan azan dibawah kubah ini untuk denar dan menyaksikan keistimewaan senibina ini. Masjid ini dikatakan ‘masterpiece’ di dalam senibina islam Parsi dan ia didaftarkan bersama dengan Medan Naghs-e-Jahan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dalam tahun 1979.

20180107_132552

20180107_133021

Istana juga masih dalam pemuliharaan

Selepas itu kami ke Istana Ali Qapu(Ali Qapu bermaksud 'Gate of Ali') (N32.65714° E51.67655°). Ia dibina pada penghujung abad ke-16 untuk kediaman Shah Abbas I. Istana bertingkat ini menjadi tempat keluarga diraja menyaksikan acara disekitar medan. Namun kami hanya melihat dari luar sahaja. Untuk masuk  ke dalam dikenakan bayaran sebanyak IRN200,000.00 seorang.

20180107_132713

Dibelakang kami adalah Masjid Sheikh Lotfollah

Terus ke Masjid Sheikh Lotfollah (N32.65742° E51.67851°) yang dibina oleh Shah Abas sekitar 1602 – 1609. Masjid ini didedikasikan pembinaan kepada Sheikh Lotfollah seorang ulama Islam yang dihormati yang telah dijemput ke Esfahan untuk mengajar dan mengawasi kerja-kerja keagamaan di masjid raja (Masjid-e Shah). Selepas itu kami bersiar di bazar yang luas dan terus mencari tempat untuk menikmati makan tengahari di restoran berhampiran. Usai makan kami ke Chehel Soton Palace 

20180107_131752

20180107_131913

di dalam bazar

20180107_133759

The main entrance called Qeisarieh

20180107_143317

Menikmati makan tengahari sedikit berbeza – ikan (IRN450,000 utk 2 orang + air 3)

Chehel Soton Palace (N32.65742° E51.67196°). dibina oleh Shah Abas 1 dalam tahun 1647. Ia meliputi kawasan seluas ± 67,000 meter persegi. Ia disempurnakan lagi oleh Shah Abbas II dengan membuat beberapa tambahan. Istana ini dibina untuk upacara keramaian dan majlis tertentu. Namanya bermaksud 40 tiang dimana duapuluh tiang yang dibina dengan refleksi di dalam kolam menjadikan jumlah 40 batang kesemuanya. Istana ini kini dijadikan muzium lukisan dan seramik Parsi.

20180107_135332

entrace untuk ke Chehel Soton

DSC08387

Penat berjalan mengelilingi medan dan sekitar membuat kami perlu segera ke homestay (N32.65135° E51.73604°) di kawasan pinggiran Isfahan kepunyaan seorang pesara guru, Mohammad Hussain yang ramah dan baik hati untuk berehat seketika.

DSC08404

Sungai yang kontang semasa musim sejuk ini

DSC08413

DSC08417

DSC08421

Pavillion kerabat raja beristirehat – Pavillion ini ditutup kepada orang ramai

Selepas maghrib kami keluar ke salah satu jambatan romantik yang merintangi sungai Ziyandeh dan terletak di selatan Chahar Bagh Avenue iaitu Si-O-Se Pol Bridge (N32.64448° E51.66748°). Si-o-se Pol Bridge yang bermakna "33 Bridge" atau "Bridge of 33 Arches" atau juga dikenali sebagai Jambatan Allah-Verdi Khan. Jambatan ini mula dibina pada 1599 dan berakhir 1602. Ia sepanjang 298 meter dan lebar 13.75 meter. Ia berfungsi sebagai jambatan dan empangan. Di tengah jambatan ini ada pavillion khas untuk keluarga diRaja bersantai menikmati pemandangan indah sungai. Pada malam hari jambatan ini akan kelihatan lebih cantik dengan biasan lampu pada air tetapi pada masa kini sungai Ziyandeh kering kontang.

20180107_195132

DSC08432

DSC08435 

Kemudian kami ke Khaju Bridge (N32.63684° E51.68334°). Ia dibina merentangi sungai Ziyandeh sebagai penyambung antara 2 tebing dan juga berfungsi sebagai empangan. Ia dibina pada abad ke 17. Ia mempunyai 23 arch dan sepanjang 105 meter

20180107_210843

Jiger aka hati bakar dimakan bersama roti, harga sebatang hampir RM1.00

DSC08439

Ia dibakar dalam tempat khas . KAmi makan dekat 20 cucuk .. kos IRN150,000

Malam semakin sejuk, perut semakin lapar, roti sudah jemu, nasi tanpa kuah semakin hambar, mencari kelainan. Singga di kedai yang menjual makanan seperti satay. Namanya ‘Jiger’ iaitu hati kambing atau lemak kambing yang dicucuk dengan besi dan dibakar di atas api. Ianya dimakan bersama roti dan disulam dengan bawang mentah. Perut pun kenyang, hatipun senang apalagi sampai di homestay, letak kepala dibantal terus gelap pandangan …..

Bersambung….


Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Bumi Parsi : Muqaddimah
2. Kembara Bumi Parsi – Day 2 : Berpelesiran Di Tehran
3. Kembara Bumi Parsi – Day 3 : Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah
4. Kembara Bumi Parsi – Day 4 : Isfahan-Kota Separuh Dunia
5. Kembara Bumi Parsi – Day 5 : Menuju Selatan & Mencuba Makanan   
6. Kembara Bumi Parsi – Day 6 :
7. Kembara Bumi Parsi – Day 7 :

Tuesday, January 30, 2018

Kembara Bumi Parsi: Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah

Tarikh   :   06 Januari 2018   
MISI     :   DAY 03
LALUAN:  Tehran – Kashan
Jarak    :  ±250km
KOORDINATE: N33.94625° E51.37320°

20180106_100128

Jimat masa - Aku singgah membeli roti di R & R untuk sarapan

DSC08323

Darmarkuz

8.00 pagi kami bertolak keluar dari bandar Tehran tanpa sarapan dengan menghala ke arah selatan menuju ke Kashan yang sejauh ±250km. Perjalanan melalui Lebuhraya yang dikenali sebagai Freeway 7 atau Persian Gulf Highway. Sepanjang perjalanan penorama indah rupabumi Iran berlatarkan gurun dan gunung ganang. Aku memang teruja melihat lanskap Iran, dengan bukit dan gunung ganang yang nampak seperti mudah  didaki sambil berangan akan ku daki gunung-gunung ini andai ia berada di Malaysia (layan pilah bukan kena duit). Pemerhatianku terhenti dan terus fokus kepada banjaran bukit yang berwarna merah dengan alur menarik yang memanjang selari jalan sejauh 4 – 5km. Aku meminta Muhammad  berhenti seketika untuk bergambar. Berdekatan kawasan kami berhenti ada kesan tasik air masin yang kering (ia akan kembali terjadi apabila musim hujan bermula). Bukit merah atau Red mountain (N34.42519° E51.16442°) ini dikenali sebagai Darmazku (betoi dak taktau ejaan ni)  

20180106_120220

Lanskap berwarna yang menarik berhampiran Kashan

Kami singgah di sebuah R & R untuk berehat seketika. Aku terpandang sebuah rumah lama lalu kami ke sana untuk bergambar. Di kawasan ini memang banyak sekali rumah-rumah lama sebegini.

20180106_124812

DSC08333

Bersama gadis manis Kashan. Perkampungan lama ini sudah ditinggalkan, walaubagaimanapun masih terdapat beberapa buah rumah lagi

Lebihkurang jam 2.30 petang kami tiba ke Bandar Kashan dan terus mencari restoran untuk makan tengahari. Kami singgah disebuah restoran yang cantik (N33.98612° E51.42514°). Makan nasi berlauk kebab untuk 2 orang (IRR310,000 = USD8.68). Usai solat kami bertolak ke Historical House(N33.97496° E51.44148°) di Kashan berdekatan Alavi Street.

20180106_135700

Makan tengahari dengan Nasi tanpa kuah di Restoran mewah

Kashan adalah penempatan kuno terawal di Iran. Jadi tidak hairanlah perkembangan dan pembinaan rumah di daerah ini dipengaruhi oleh gaya hidup, taraf ekonomi dan kebudayaan masyarakat. Rumah-rumah lama ini dibina sejak abad ke 18 dan 19 dimasa kemakmuran kerajaan Parsi terutama di Kashan yang dimiliki oleh saudagar-saudagar kaya. Kebanyakan rumah-rumah ini kini diambil alih oleh kerajaan Iran untuk pemuliharaan bangunan bersejarah. Di kawasan ini terdapat beberapa buah rumah bersejarah seperti Baroojerdi house, Tabatabaei house, Sultan Amir Ahmad Bathhouse, Ameri House dan beberapa lagi. Apa yang menarik adalah senibinanya yang unik dengan binaan rumah dari lumpur dicampur dengan jerami gandum, pintu kayu yang tebal lagi unik dan rumah mereka kebanyakannya dikelilingi oleh tembok. Tetapi yang menarik perhatianku adalah binaan unik perangkap angin atau wind catcher. Wind catcher atau badgir ini dibina untuk memberi peredaran udara segar ke bahagian yang dikehendaki bagi mendapatkan suasana segar dan sejuk sepanjang masa

 GOPR3830

The Sacred Shrine – The Holy Sultan Amir Ahmad

20180106_151220

Pengetuk pintu ini uniknya kerana dibuat khas untuk wanita(kiri) dan lelaki(kanan). Dari bunyi yang nyaring dari pengetuk sebelah kanan boleh memaklumkan tuanrumah bahawa yang berkunjung itu adalah lelaki.

GOPR3826

Boroujerdi House – Rumah ini milik Usahawan kapet Seyed Hassan Netenzi (1859). Rumah ini berkeluasan 3,500 meter per

20180106_153224

di sebuah lorong di kawasan historical house

20180106_153534

Wind Catcher di Boroujerdi House

Senibina rumah ini juga kebanyakan memasukkan unsur air bagi digabungkan dengan angin bagi memberi lebih kesan penyejukan dari wind catcher. Sebab itu kebanyakan rumah sebegini ada kolam dihalaman rumah atau telaga khas di bawah serombong wind catcher. 

DSC08355

Fountain yang digerakan dengan kuasa air. Air disalirkan dari saliran yang berwarna biru

DSC08359

Kolam utama yang memberi tekanan kepada saliran dan juga fountain. Falsafah dalam rekebentuk Taman ini meliputi 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin  

Selepas itu kami ke Fin Garden (N33.94625° E51.37320°) atau Bagh-e Fin. Taman ini mula dibina oleh Shah Abas 1 di era Kerajaan Safavid sekitar kurun ke 16 disebuah perkampungan bernama Fin yang terletak beberapa km ke baratdaya Kashan. Taman ini diperbaharui semula diera Qajar (1797 – 1834). Taman ini berkeluasan 2.3 hektar dan dihiasa dengan pokok pine dan tumbuhan wangian. Yang menarik ialah bagaimana sumber air di pergunakan sepenuhnya dan teknologi diaplikasi di taman-taman yang dihiasai dengan air memancut melalui tekanan dari kolam yang dibina khas. Walaupun kawasan ini dikelilingi oleh gurun, namun sumber airnya diperolehi dari pergunungan Karkas yang dialirkan melalui saluran bawah tanah yang dipanggil ‘qanat’ ke kolam takungan yang besar dan dari sini air dialirkan ke taman ini melalui saliran yang dibina khas berwarna biru. Saliran ini mempunyai kemampuan untuk mewujudkan pancutan air di sekitar taman. Hebat ….. Dek kerana itu Taman ini di jadikan sebagai Harta Negara pada tahun 1935 dan telah diiktiraf oleh UNESCO sebagaiWorld Heritage Site pada 18 Julai, 2012.

20180106_163516

SAfavid pavillion – Sultan dan keluarga akan beristirehat sambil menikmati bunyi aliran air

20180106_164913

Bath house – Mungkin disinilah lokasi pembunuhan penuh tragik Amir Kabir seorang Perdana Menteri di Era Nasiruddin Shah (1848 – 1851)

 

bagh-e-fin_garden_plan

Peta Fin Garden

  Untuk masuk ke taman ini dikenakan bayaran sebanyak IRR200,000 atau USD5.6. Ia dibuka dari jam 8.00 am – 7.00pm setiap hari (tetapi pada musim sejuk dengan masa siang yang singkat semasa kami sampai ianya sehingga jam 4.30pm sahaja). Selepas keluar kami mengikuti seorang penduduk tempatan untuk bermalam di rumahnya yang terletak ± 1.2 km dari Fin Garden. Rumahnya (N33.94872° E51.38546°) yang tersedia keperluan asas seperti pendiang, tandas dan water heater disamping katil dan selimut yang cukup.

Bersambung….


Pautan Kembara Berkaitan
1. Kembara Bumi Parsi : Muqaddimah
2. Kembara Bumi Parsi – Day 2 : Berpelesiran Di Tehran
3. Kembara Bumi Parsi – Day 3 : Kashan–Kota Indah Yang Bersejarah
4. Kembara Bumi Parsi – Day 4 : Isfahan-Kota Separuh Dunia
5. Kembara Bumi Parsi – Day 5 : Menuju Selatan & Mencuba Makanan   
6. Kembara Bumi Parsi – Day 6 :
7. Kembara Bumi Parsi – Day 7 :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...